Wednesday, September 27, 2006

PERTAHANKAN LABUAN SEBAGAI PUSAT KEWANGAN PERSISIRAN PANTAI


Dewan Negara, Selasa, 29 April 2003
Datuk Syed Ali bin Tan Sri Syed Abbas Alhabshee: Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kerana diberi peluang untuk serta dalam membahaskan rang undang-undang ini yang pada saya amatlah penting untuk kita hayati demi kepentingan pembangunan negara.

Di sini saya ingin mengambil peluang untuk mengatakan beberapa isu yang pada pandangan saya dapatlah kiranya dijadikan rujukan kerajaan untuk memantapkan lagi usaha pembangunan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai pusat kewangan pesisir pantai dengan izin offshore financial hub.

Tuan Yang di-Pertua, kita telah melihat bagaimana negara-negara barat memajukan beberapa pulau strategik dijadikan pusat kewangan pesisiran pantai. Pulau Hong Kong dari dahulu lagi memang terkenal sebagai pusat kewangan bagi Asia Timur terutamanya sewaktu ianya ditadbir oleh Kerajaan British dan pada waktu itu pelbagai insentif dan kelebihan disediakan untuk menarik minat pelabur-pelabur asing terutamanya dengan kata-kata aluan seperti the corridor of China dan sebagainya dengan izin. Begitulah juga dengan Pulau Seaman yang dijadikan pusat kewangan bagi negara-negara Eropah dan Amerika. Berbilion-bilion dolar Amerika melalui institusi-institusi kewangan di kepulauan ini juga diperkaya oleh kerajaan negaranya.

Jadi, apakah yang menjadi tarikan terhadap pulau-pulau itu sehingga ada yang sanggup melabur wang mereka di satu tempat yang asing jauh dari negara asal mereka dan mungkin merupakan satu perjudian terhadap harta dan wang mereka.

Tuan Yang di-Pertua, ianya terletak di kaedah pengurusan dana dan kewangan yang lebih bijak yang boleh ditawarkan oleh pusat-pusat kepulauan ini. Jika bijak pengurusannya maka akan tinggilah pulangannya, dengan itu akan meningkatkan lagi status dan tarikan pusat ini di mata pelabur-pelabur antarabangsa.

Saya dapat melihat visi kerajaan dalam pembukaan Labuan sebagai sebuah pusat kewangan persisiran pantai, bukan sahaja dari perspektif negara ini malah dari sudut rantau ini juga. Oleh sebab itu Labuan sebuah pulau yang hanya dihuni beberapa ribu penghuni yang majoritinya nelayan diberi nafas baru, digazet daripada kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan dan dijadikan sebuah Wilayah Persekutuan, maka berbilion ringgitlah ditaburkan di serata pulau itu untuk membangunkan prasarana moden seperti dermaga, jeti, pusat kewangan, jaringan komunikasi dan struktur organisasi yang membolehkan sebuah pusat kewangan pesisir pantai ditubuhkan.

Ianya juga untuk dengan izin harness the potential vein of global monitoring highway iaitu dengan menarik wang dan dana yang sedang berputar di serata dunia untuk dilaburkan di institusi-institusi yang terdapat di Labuan. Jadi, apakah cabaran-cabaran yang dihadapi untuk membangunkan Labuan ini dan apakah tujuan rang undang-undang ini diperkenalkan.

Tuan Yang di-Pertua, pertama sekali kita kenalah meneliti akan keperluan mewujudkan perundangan yang khusus untuk kemudahan pengurusan kewangan dan dana di Labuan. Saya menyokong penuh sebarang usaha kerajaan untuk memantapkan lagi sistem pengurusan kewangan Labuan kerana keperluannya yang berbeza jika dibandingkan dengan kaedah pengurusan yang terdapat di institusi kewangan konvensional di seluruh negara.

Untuk menarik pelabur asing ke Labuan kerajaan kenalah memperuntukkan perundangan istimewa untuk pengendalian dana di sana. Kalau semua perundangan itu sama seperti yang terdapat di institusi kewangan di Kuala Lumpur misalnya maka dengan itu Labuan akan gagal menarik pelabur asing.

Pelabur lebih suka dengan Kuala Lumpur yang mempunyai semua infra- struktur dan suasana perniagaan yang boleh meyakinkan pelabur. Labuan membawa konsep pesisiran pantai atau offshore di mana institusi pengurusan dana dan kewangan di pulau ini memainkan peranan sebagai bank penasihat kewangan, syarikat pelaburan dan ejen insurans dengan izin, all in one, kelebihan pusat offshore ini dengan izin ialah dananya mudah untuk dialihkan dan diagihkan kepada tempat-tempat pelaburan yang tertentu. Pelaburan itu tidaklah terhad hanya kepada pelaburan di dalam sektor ekonomi negara itu tetapi boleh dilaburkan oleh syarikat pengurusan di negara-negara lain pula.

Oleh yang demikian, pusat kewangan pesisiran pantai ini menyediakan satu pusat kewangan dengan izin, one-stop yang membolehkan pelabur menikmati pelbagai bentuk habuan hanya dengan sekali pelaburan sahaja. Konsep inilah yang dijadikan tarikan untuk Labuan. Keperluan rang undang-undang ini juga amat perlu untuk menyeragamkan undang-undang fiskal mengenai dana yang kini bertaburan di pulau ini.

Tuan Yang di-Pertua, memang saya menyokong usaha untuk menarik pelaburan asing ini yang sekali gus akan menambah hasil pendapatan negara dari unsur cukai terhadap aktiviti yang dilaksanakan pengurus-pengurus dana ini, di samping membawa masuk pelaburan ke negara ini.

Kita juga akan dapat meningkatkan lagi tarikan Malaysia sebagai pusat penyediaan perkhidmatan kepada dunia antarabangsa terutama dari segi pengendalian pengurusan kewangan.

Saya pasti selepas kemelut ekonomi di rantau dan global akibat kerakusan lanun-lanun spekulator yang diterajui oleh George Soros, pelabur-pelabur begitu berhati-hati terhadap ke arah manakah mereka menghalakan pelaburan mereka. Akan tetapi yang yakin Malaysia akan menjadi sebuah negara yang akan berjaya menarik pelabur-pelabur asing terutamanya untuk menggunakan perkhidmatan pengurusan dana yang terdapat di Pulau Labuan.

Ini kerana kita telah berjaya mengharungi arus kemelesetan ini dengan cara kita sendiri, cara pada ketika ianya diperkenalkan pada tahun 1998. Mereka beranggapan cara Malaysia untuk mengekang kemelesetan dengan mengenakan satu Ringgit Malaysia kepada dolar Amerika dan membuat pelbagai perubahan dari segi aliran keluar dana akan gagal.

Tuan Yang di-Pertua, hari ini mereka terpaksa dengan izin, its humble part dan mengakui cara kita biar pun amat berbeza dan radikal telah berjaya mengembalikan Malaysia ke persada pembangunan yang dikecapinya sebelum 1997. Bank Dunia dan IMF sendiri telah mengakui dengan izin, our brilliant di dalam menangani hal ini.

Di sini saya pohon kerajaan untuk memberitahu akan hasil pertemuan Yang Berhormat Menteri Kewangan Kedua dengan pemimpin-pemimpin negara lain di Perhimpunan IMF dan World Bank baru-baru ini di Amerika Syarikat.

Apakah pandangan negara-negara lain terhadap Malaysia dan sama ada cara Malaysia menangani masalah 1997 dahulu kini diiktiraf dunia. Jika ya, syabas dan tahniah saya ucapkan.

Tuan Yang di-Pertua, kita perlu memastikan Labuan akan tetap dipandang sebagai pusat pengurusan kewangan pesisiran pantai yang kompetitif. Untuk menentukannya akan sentiasa berjaya untuk menarik pelabur asing lebih banyak pusat-pusat seumpama ini sedang dan akan dibina di seluruh dunia dengan dana yang semakin mengecil Labuan seolah-olah are competing for a small big of the shrinking pie dengan izin. Akan tetapi tiba masanya nanti apabila tarikan ini akan berkurangan bila mana gergasi ekonomi China beroperasi sepenuhnya.

Pada waktu itu nanti bukan sahaja Labuan, malah pusat kewangan pesisiran yang gah seperti Cayman juga akan terdedah kepada bahaya penarikan atau dengan izin, pull factor dari China.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin tahu dari kerajaan apakah perancangan yang akan dilaksanakan untuk menarik pelabur asing untuk terus menggunakan Labuan selepas ini.

Apakah bentuk strategi dan dasar yang akan diamalkan oleh Kementerian Kewangan untuk menarik pelabur dari rantau lain terutamanya dari Timur Tengah, Afrika untuk menggunakan Labuan sebagai pusat pelaburan mereka di rantau ini dan Asia.

Timbalan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Datuk Syed Ali masa sudah cukup!

Datuk Syed Ali bin Tan Sri Syed Abbas Alhabshee: Lima minit, Tuan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua: Masa sudah cukup.

Datuk Syed Ali bin Tan Sri Syed Abbas Alhabshee: Saya hendak bagi habis sedikit sahaja lagi. Kita juga wajar mempertingkatkan pengawasan dana yang keluar masuk dari Labuan untuk memastikan usaha ini tidak akan disalahgunakan oleh sindiket-sindiket antarabangsa dengan izin, launder the dirty money here.

Jika ini berlaku kita bukan sahaja menghadapi implikasi jenayah antarabangsa menjatuhkan imej Labuan dan negara malah ia akan memudahkan anasir-anasir ini masuk dan bertapak di negara ini. Kita juga wajar memastikan bahawa lanun-lanun seperti George Soros tidak akan dapat berleluasa dan menghancurkan harapan negara kita untuk mencapai Wawasan 2020 sebagai sebuah negara maju berteraskan k-ekonomi.

Saya mohon menyokong pindaan yang dibawa oleh rang undang-undang ini, terima kasih.

1 Comments:

Blogger Faremie said...

Assalamualaikum Dato'Sri.Saya seorang peniaga kecil kecilan dari Cheras.Saya ada beberapa persoalan.Apakah bank persisiran hanya menjadi hub pelaburan utk pelabur asing sahaja.Bolehkah rakyat seperti saya melabur di dlm bank ini.Dan berapakah amount minimum utk melabur? Harap Dato' dpt membantu golonagn belia spt saya.Terima Kasih

1:35 PM  

Post a Comment

<< Home